Saturday, 19, July, 2025
Utama Negeri Tak pakai tali pinggang keledar, 16 penumpang bas masing-masing dikompaun RM300

Tak pakai tali pinggang keledar, 16 penumpang bas masing-masing dikompaun RM300

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seramai 16 penumpang bas ekspres dan bas persiaran dikenakan kompaun RM300 setiap seorang selepas dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam satu operasi khas penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 18 buah bas, termasuk 14 bas ekspres dan empat bas persiaran.

Menurutnya, dua lagi penumpang bawah umur yang turut melakukan kesalahan hanya diberikan nasihat dan advokasi.

“Kita bukan sahaja buat pemeriksaan di terminal dan sekatan jalan raya, malah turut melaksanakan strategi penyamaran dalam bas bagi mengesan penumpang atau pemandu yang tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya ketika ditemui selepas operasi di Plaza Tol Alor Setar Utara dan Terminal Bas Sahab Perdana, malam tadi.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-kanak) 1978 Pindaan 2008.

Katanya, anggota JPJ yang menyamar akan merekod kesalahan secara visual dan kompaun akan terus dikeluarkan kepada individu yang ingkar.

“Jika ada bukti, kita tidak akan teragak-agak untuk keluarkan kompaun,” tegasnya.

Stien turut menasihatkan penumpang agar memaklumkan kepada pemandu sekiranya tali pinggang keledar tidak berfungsi sebelum perjalanan bermula.

Beliau mengingatkan bahawa sejak 1 Januari 2020, semua pengusaha bas ekspres diwajibkan memastikan setiap tempat duduk dilengkapi tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com