RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan terkemuka Brazil, Embraer pada Ahad bagi membincangkan peluang pelaburan strategik di Malaysia.
Pertemuan itu disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Embraer, Francisco Gomes Neto, yang turut menyatakan minat terhadap kerjasama melibatkan pelbagai aspek industri aeroangkasa negara.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem industri penerbangan negara melalui dasar mesra pelabur, pembangunan bakat tempatan dan kerjasama teknologi berimpak tinggi.
Malaysia berhasrat menjadi hab aeroangkasa utama di rantau ASEAN dengan menawarkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing, katanya.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk potensi pelaburan Embraer di Malaysia merangkumi kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan, pembangunan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan juruterbang, rantaian bekalan serta inovasi pesawat rendah karbon.
Malaysia turut mengalu-alukan penglibatan Embraer dalam Pelan Induk Aeroangkasa Negara 2030, yang menekankan aspek kelestarian dan teknologi hijau dalam sektor penerbangan.
Selain sektor komersial, Perdana Menteri turut menghargai minat syarikat itu dalam memperkukuh kerjasama pertahanan, khususnya bagi meningkatkan keupayaan mobiliti udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan segala bentuk kerjasama tersebut diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan untuk rakyat.