KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang dijadualkan berlangsung hari ini selepas mengalami masalah kesihatan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pembatalan dibuat atas nasihat pasukan perubatan selepas Anwar mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya menjadi terbatas.
“YAB Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi bagi memastikan tahap kesihatan beliau kembali pulih sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.
Anwar turut memohon maaf kepada rakyat Pahang yang telah membuat persiapan untuk menyambut kehadirannya.
Lawatan kerja itu dijadualkan melibatkan beberapa program rasmi kerajaan negeri termasuk pertemuan bersama pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
Difahamkan, jadual baharu bagi lawatan tersebut akan ditentukan selepas kesihatan Perdana Menteri pulih sepenuhnya.