Wednesday, 21, January, 2026
Utama PolitikPRN Sabah: Pilih pemimpin yang bijak berunding dengan saya demi hak Sabah – PM

PRN Sabah: Pilih pemimpin yang bijak berunding dengan saya demi hak Sabah – PM

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Sabah supaya memilih wakil rakyat yang mampu berunding secara baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menuntut hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menegaskan, tuntutan Sabah perlu diselesaikan melalui semangat rundingan dan persefahaman agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

“Untuk runding, pilih wakil sama ada wakil saya secara langsung, parti yang saya pimpin atau yang boleh berkawan dengan saya. Runding dengan baik, janganlah pilih orang yang benci dekat saya. Saya nak runding dengan apa kalau tengok muka dia pun ‘aduh’… mestilah cari jalan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rancakkan MADANI Sabah di sini.

Menurut Anwar, kerajaan pimpinannya tidak menolak tuntutan Sabah dan Sarawak, malah sudah mengambil langkah progresif dengan meningkatkan peruntukan khas sementara (interim) bagi kedua-dua negeri berkenaan.

“Dulu hanya RM16 juta, naik sedikit jadi RM56 juta. Saya kata tak cukup. Kita runding, saya naikkan jadi RM300 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak. Tahun ini pula, saya tambah lagi jadi RM600 juta untuk Sabah dan RM600 juta untuk Sarawak sebagai interim, sementara kita muktamadkan persetujuan,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan rundingan merupakan cara terbaik untuk memastikan semua pihak mendapat manfaat tanpa menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.

Beliau juga menasihatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan retorik politik pihak tertentu yang menggunakan isu MA63 untuk meraih sokongan.

“Jangan ikut orang yang hanya tahu berteriak, tapi tak pernah buat kerja. Kita kena berunding dengan cerdik dan dengan semangat muhibah,” katanya.

Anwar berkata, beliau komited memastikan setiap janji yang termaktub dalam MA63 ditunaikan secara berperingkat dan mengikut kemampuan kewangan negara.

Tambahnya lagi, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di Sabah.

“Kalau kita bekerjasama, banyak perkara boleh dipercepat. Saya nak pastikan Sabah terus maju dan rakyatnya menikmati hasil pembangunan negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan