KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap segelintir bekas pemimpin yang muncul sebagai ‘wira rakyat’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sedangkan ketika berkuasa dahulu gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.
Beliau menegaskan, rakyat perlu menilai keikhlasan dan rekod pemimpin secara bijak, bukan sekadar percaya kepada janji manis ketika musim pilihan raya.
“Kita kena nilai dengan cerdik dan pintar, kalau tidak kita jadi mangsa. Tambahan sekarang musim PRN Sabah, bertempur… semua jadi hero-hero belaka.
“Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa? Mengapa hal-hal yang kamu sebut itu tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya ketika berucap dalam Program Rancakkan MADANI Sabah di sini.
Anwar menegaskan, perjuangan sebenar bukanlah menimbulkan sentimen kaum atau agama, tetapi menjaga nilai, akhlak dan tanggungjawab dalam kepimpinan.
“Sekarang ada yang tiba-tiba laung ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu? Kuasa bukan untuk ‘hak aku, hak isteri aku, hak anak aku’. Kuasa mesti digunakan untuk bela rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Beliau turut menegaskan, kerajaan pimpinannya memberi tumpuan serius terhadap pembangunan Sabah tanpa mengira perbezaan politik, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM6.9 bilion untuk pembangunan Sabah dalam Belanjawan 2026, termasuk pemberian khas interim RM600 juta di bawah MA63,” jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan Sabah, malah terus komited mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan keselamatan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Anwar juga mengingatkan pengundi supaya menilai rekod sebenar pemimpin, bukan retorik politik yang hanya muncul ketika menjelang pilihan raya.
“Pemimpin yang baik tidak tunggu musim pilihan raya untuk turun padang atau bercakap tentang rakyat. Kita mesti menilai siapa yang bekerja dan siapa yang hanya bercakap,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan perpaduan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri merupakan asas penting untuk membawa kemajuan menyeluruh di Sabah.
“Kalau kita bersatu dan bekerjasama, banyak masalah boleh diselesaikan dengan cepat. Saya tidak mahu Sabah ketinggalan, sebab itu kerajaan akan terus beri perhatian kepada negeri ini,” katanya.