Wednesday, 21, January, 2026
Utama EkonomiKerangka pembangunan dirangka selepas dengar pandangan kerajaan negeri

Kerangka pembangunan dirangka selepas dengar pandangan kerajaan negeri

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Kerajaan Pusat kini merangka setiap pelan pembangunan dengan mengambil kira pandangan dan teguran kerajaan negeri bagi memastikan dasar yang digubal benar-benar menepati keperluan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu diamalkan dalam semua perancangan sebelum dilaksanakan di peringkat negeri, sekali gus menandakan perubahan signifikan dalam cara kerajaan membentuk dasar pembangunan negara.

Menurutnya, kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan pentadbiran negeri membolehkan perancangan lebih tepat dan menepati realiti setempat, khususnya di Johor yang kini menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan memberangsangkan dengan anggaran nilai pelaburan berpotensi melepasi RM100 bilion. Ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara serta hala tuju pembangunan di bawah Kerajaan Madani,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan kepentingan rangkaian pengangkutan moden termasuk projek pengangkutan elektrik baharu yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur itu bukan sekadar projek rel, tetapi turut merangkumi perancangan bersepadu yang melibatkan pusat ekonomi, kawasan komersial, gerai makanan, perumahan dan kemudahan awam di sekitar stesen baharu.

Katanya, setiap stesen akan dibangunkan secara strategik bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu serta merancakkan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan.

“Model pembangunan berasaskan pengangkutan atau transit-oriented development ini akan menjadi antara tunjang utama pembaharuan ekonomi negara pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar berkata kerjasama Malaysia–Singapura melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan terus diperkukuh demi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.

Beliau berkata hubungan ekonomi kedua-dua negara kini berada pada tahap terbaik dan Johor dijangka menerima limpahan pelaburan terutama dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.

“Pendekatan Ekonomi Madani menuntut pembangunan yang bukan sahaja besar dari segi fizikal, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru, di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Artikel Berkaitan