KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan yang diraih Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa adalah hasil kerjasama kukuh seluruh penjawat awam.
Beliau berkata prestasi seorang Perdana Menteri turut bergantung kepada kekuatan perkhidmatan awam yang berperanan di semua peringkat, daripada kakitangan di barisan hadapan hingga kepimpinan tertinggi kerajaan.
Menurutnya, kejayaan penganjuran Sidang ASEAN, mesyuarat GCC–ASEAN dan penerimaan positif terhadap usaha Malaysia di luar negara membuktikan potensi negara dalam menarik pelaburan serta pembangunan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Kadang-kadang orang lupa, semua ini berlaku kerana kerja sebagai satu pasukan – daripada penjawat awam paling bawah yang memastikan kelengkapan tersedia, hinggalah ke Jemaah Menteri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-30 di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; dan Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan tambahan RM500,000 bagi menyokong penganjuran konvensyen tiga hari berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan CUEPACS atas komitmen memastikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dapat dilaksanakan sehingga mendapat maklum balas positif daripada penjawat awam.
Anwar menegaskan pelaksanaan sistem saraan baharu perlu memberi perhatian sewajarnya kepada penjawat awam berpendapatan rendah agar nilai ihsan dan prinsip MADANI dapat diterjemah secara adil kepada seluruh keluarga besar perkhidmatan awam.
Sebelum itu, Adnan dalam ucapannya memberi jaminan bahawa CUEPACS serta penjawat awam akan terus setia berkhidmat kepada Kerajaan MADANI dan memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata penjawat awam menyahut seruan Perdana Menteri supaya memberikan pulangan setimpal terhadap inisiatif yang diumumkan kerajaan, sambil menegaskan prinsip bahawa tiada dasar baharu akan mengurangkan manfaat yang dinikmati penjawat awam pada masa ini.