Wednesday, 21, January, 2026
Utama NasionalPengiktirafan UEC: Keutamaan Bahasa Melayu perlu dipatuhi – PM

Pengiktirafan UEC: Keutamaan Bahasa Melayu perlu dipatuhi – PM

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum mesti mengambil kira kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan tetap berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, termasuk dalam isu cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) atau usaha meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris.

Menurut Perdana Menteri, bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa ilmu dan dikuasai oleh semua rakyat sebelum mana-mana cadangan berkaitan bahasa lain dibincangkan.

“Kebelakangan ini ada pelbagai tuntutan berkaitan bahasa. Saya ingin jelaskan bahawa dalam apa juga cadangan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mesti dimantapkan terlebih dahulu dan menjadi keutamaan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan penguasaan bahasa Melayu harus kukuh dalam semua aliran pendidikan termasuk sekolah Cina, Tamil dan antarabangsa.

“Sekolah antarabangsa boleh menggunakan bahasa Inggeris, tetapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu. Semua aliran perlu menguasainya,” katanya.

Beliau berkata cadangan yang cenderung mengutamakan satu bahasa atau satu kaum tanpa mempertimbangkan kedudukan bahasa Melayu hanya akan menimbulkan masalah.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan semua pihak agar mematuhi prinsip perlembagaan apabila mengemukakan sebarang cadangan berkaitan bahasa di negara ini.

Artikel Berkaitan