JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyertaan peniaga kecil dan usahawan mikro perlu menjadi keutamaan dalam setiap fasa pembangunan kawasan sekitar stesen kereta api, terutamanya di kawasan kecil dan luar bandar.
Beliau berkata stesen baharu bukan hanya berfungsi sebagai infrastruktur pengangkutan, tetapi akan menjadi pusat ekonomi setempat yang berpotensi menarik pelaburan tambahan serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk.
Justeru, kemudahan seperti pusat dan gerai makanan, perumahan serta peluang pekerjaan perlu ditambah baik supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.
Menurut Anwar, pendekatan itu selari dengan konsep Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan mampan dengan campur tangan terarah kerajaan bersama sokongan sektor swasta bagi memastikan kemajuan tidak meminggirkan rakyat.
Beliau berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru di Stesen Kempas Baru, yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Anwar turut menyatakan bahawa Johor yang kini mencatat prestasi pelaburan hampir RM100 bilion perlu memanfaatkan sepenuhnya rangkaian stesen kecil bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta merancakkan pembangunan menyeluruh.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru sepanjang 192 kilometer itu merangkumi 11 stesen baharu berasaskan identiti dan warisan Johor di Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru, dengan hentian terakhir di JB Sentral.
Beliau menambah bahawa kerajaan Persekutuan kini mengutamakan pendekatan inklusif dengan mengambil kira pandangan kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan, termasuk penyediaan belanjawan dan rancangan jangka panjang, selaras dengan amalan musyawarah yang lebih meluas.