ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Kedah menafikan kenyataan yang tular di media sosial kononnya wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ditutup hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, wad ICU di hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan masih terdapat kes COVID-19 dirawat di HSB walaupun tiada pesakit memerlukan rawatan di ICU ketika ini.
Beliau berkata, video dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial memaparkan wad berkenaan ditutup dibuat orang perseorangan tanpa pengetahuan pihak pengurusan HSB atau jabatan kesihatan negeri.
“Semua pihak terutamanya kakitangan jabatan kesihatan diminta tidak mengeluarkan kenyataan, memuat naik gambar atau video yang boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat awam,” katanya dalam.satu kenyataan akhbar hari ini.
Bermula pagi tadi tular kenyataan dan video di laman sosial Facebook yang dibuat seorang individu mendakwa penutupan wad ICU bagi merawat pesakit COVID-19 di HSB.
Pada masa sama, Dr. Mohd. Fikri menasihatkan semua supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan serta patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19. – KG