KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turki menzahirkan kebimbangan terhadap trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam yang telah mencapai tahap membimbangkan terutamanya di Eropah.
Dalam kenyataan bersama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menggariskan kebimbangan kemunculan bentuk perkauman baharu yang dicirikan oleh xenofobia, profil negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.
Isu tersebut dibincangkan kedua-dua pemimpin dalam pertemuan empat mata seiring Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78, di New York pada Rabu.
“Kami mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai ‘Hari Antarabangsa untuk memerangi Islamofobia’, yang menekankan bahawa keganasan dan ekstremisme ganas tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama, kewarganegaraan, tamadun atau kumpulan etnik.
“Kami mengalu-alukan perbahasan mendesak semasa Sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) PBB untuk membincangkan peningkatan yang membimbangkan berkait kebencian agama yang dirancang dan dimaklumkan secara terbuka seperti yang ditunjuk melalui penghinaan berulang-ulang terhadap Al-Quran dan menerima resolusi HRC yang mentakrifkan pembakaran kitab suci sebagai tindakan kebencian agama,” memetik kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin turut menggariskan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi dan xenofobia sedemikian telah menimbulkan ancaman kepada keamanan dan menghasut budaya keganasan.
Malah, Anwar dan Erdogan turut menegaskan bahawa perlunya komitmen politik di peringkat tertinggi termasuk melalui Resolusi HRC PBB dan menggalakkan negara-negara memberi perhatian khusus kepada kepentingan menjenayahkan hasutan kepada keganasan berdasarkan agama atau kepercayaan.
Anwar yang kini berada di New York dijadual bertemu beberapa lagi pemimpin dunia lain seiring UNGA78.
Dalam pada itu, Anwar melalui media sosial beliau memaklumkan turut menjemput Erdogan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebelum hujung tahun ini.
“Besar harapan saya agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama Malaysia dan Turki yang telah sekian lama terjalin akan kekal utuh dalam semangat persahabatan yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook.