Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Projek penyelenggaraan tandas sekolah KPM 90 peratus dalam pelaksanaan, siap

Projek penyelenggaraan tandas sekolah KPM 90 peratus dalam pelaksanaan, siap

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Sebanyak 7,544 atau 90.3 peratus projek penyelenggaraan kecil Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses dan siap dilaksanakan setakat 22 September lalu.

Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya dengan kerjasama KPM telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta yang bermula pertengahan Julai lepas.

“Baki sebanyak 810 atau 9.7 peratus projek sedang dalam peringkat akhir perolehan. Projek penyelenggaraan ini dijangka dapat disiapkan pada penghujung Oktober 2023,” katanya.

Pelaksanaan kesemua projek berkenaan adalah secara kolaboratif antara ICU dan KPM serta pejabat-pejabat daerah di seluruh negara.

Menurut ICU JPM, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan penyediaan prasarana dan perkhidmatan terbaik serta dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat. Hasrat ini adalah selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com