Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Sambutan Maulidur Rasul: Agong seru ambil iktibar kejatuhan tamadun akibat fitnah

Sambutan Maulidur Rasul: Agong seru ambil iktibar kejatuhan tamadun akibat fitnah

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam di negara ini agar mengelak daripada menyebar fitnah yang akhirnya mengugat kestabilan dan keharmonian negara.

Titah baginda, akhlak mulia Nabi Muhammad SAW telah membawa Islam menjadi kuasa besar serta tamadun yang hebat di dunia.

Namun fenomena fitnah selepas kewafatan Rasullah SAW, menyebabkan kejatuhan dan keruntuhan kuasa besar dunia itu.

“Hakikatnya perkataan yang kurang elok, sama ada ketika tutur bicara, mahupun ketika menulis di media sosial, kata-kata yang berbentuk cacian, nista dan dusat serta fitnah akan hanya mengugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta.

“Marilah kita mengambil iktibar dengan kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat daripada budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.

Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama dalam majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, sejarah Islam menyaksikan fenomena fitnah telah membawa kepada hancurnya keharmonian dan kestabilan sesebuah negara.

“Selepas kewafatan Rasullah SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa yang amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan Khalifah ketiga, Saidina Uthman bin Affan.

“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung. Malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara.

“Kerana itu Allah SWT mengingatkan seluruh umat Islam untuk menghindari, serta menjauhi orang-orang yang tidak bercakap benar sebagaimana yang difirmankan dalam surah Al-Qalam ayat ke-10; ‘Janganlah kami ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela yang sana ke mari menghembur fitnah’,” titah baginda lagi.

Justeru, titah Al-Sultan Abdullah, akhlak warisan Rasullah SAW perlu dicontohi seluruh rakyat di negara ini.

“Justeru bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada thaun ini, beta ingin menyeru kepada seluruh rakyat beta untuk bersama mencontohi akhlak warisan maknawi Rasullah SAW yang amat bernilai dan istimewa.

“Marilah kita terapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan menutur bicara kebenaran, bersikap jujur, serta menjauhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan,” titah baginda lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com