KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan langkah kerajaan memberi subsidi beras import di Sabah dan Sarawak akan membolehkan harga beras itu di kedua-dua negeri terbabit berada pada kadar RM31.
Ia sebagai langkah intervensi bagi mengurangkan bebanan rakyat yang miskin di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira bekalan beras tempatan di Sabah hanya 20 peratus maka rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.
“Dua hari lalu, kita dengar keluhan rakyat tentang peningkatan harga beras dan sepertimana kita maklum beras tempatan tidak tersebar luas dan maksimum hanya 20 peratus di Sabah dan mereka terpaksa bergantung kepada beras import.
“Tidak mungkin kita minta rakyat yang miskin dibebankan dengan harga beras yang mahal. Saya dimaklumkan ada tempat harga beras import RM45, RM41 dan RM39 jadi, bagaimana kurangkan beban sebab bekalan beras ini keperluan harian.
“Pada Isnin lalu, kita umumkan untuk mengurangkan bebanan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, kita turunkan harga (beras) import.
“Kerajaan Persekutuan akan membayar subsidi hanya untuk Sabah dan Sarawak, tidak untuk Semenanjung sebab Semenanjung ada beras tempatan,” katanya semasa Konvensyen Perdana Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi-Agensi Agama seluruh Malaysia, malam tadi.
Menurut beliau, isu beras adalah isu khusus yang harus ditangani secara manusiawi dengan harga beras import di Sabah dan Sarawak daripada RM45 akan turun kepada RM31.
“Walau bagaimanapun, di kawasan pedalaman mungkin ada sedikit peningkatan kos kerana kos pengangkutan tapi, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri. Kos pengangkutan akan ditanggung oleh Kementerian Kewangan bagi mengurangkan peningkatan kos di pedalaman,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga akan memperkenal dasar yang lebih ampuh dan realistik dalam melaksana rasionalisasi subsidi kerana subsidi kerajaan pada masa ini mencecah RM81 bilion.