Kuala Lumpur: Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin.
“Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti.
“Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban,” katanya menerusi ciapan di X, hari ini.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, masyarakat antarabangsa perlu memperakui bahawa kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin menjadi punca utama konflik terbaharu di Gaza.
Kenyataan berkenaan menyatakan, rakyat Palestin menjadi mangsa pendudukan haram yang berpanjangan, sekatan dan penderitaan selain kesucian Masjid Al-Aqsa dicemar serta politik perampasan yang dilakukan oleh Israel selaku kuasa penjajah.
“Ketidakkonsistenan dalam bertindak terhadap rejim Israel menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan seragam berkaitan prinsip-prinsip antarabangsa.
“Ia juga menekankan tentang keperluan untuk menyatakan pendirian yang lebih konsisten dalam menangani sebuah rejim aparteid.
“Tidak sepatutnya ada layanan yang tidak tidak sama rata dan kepura-puraan yang nyata dalam menangani mana-mana rejim yang mengamalkan aparteid dan terang-terangan melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Setakat ini, seramai 232 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dan lebih 1,697 orang cedera susulan pengeboman Israel ke atas Gaza semalam.