SAN FRANCISCO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa suara besar Malaysia seiring usaha memperkukuh pelaburan dan perdagangan serantau pada Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk memberi fokus kepada kerjasama serantau yang amat diperlukan ketika ini untuk memacu ekonomi.
“Apabila bercakap berkenaan ekonomi di Malaysia, ia merangkumi ekonomi digital, ekonomi hijau termasuk ekonomi halal. Ini penting untuk memastikan negara-negara ini berada satu meja untuk kestabilan demi kepentingan pertumbuhan global.
“Komitmen di dalam APEC ini adalah tidak terikat dengan keputusan dan persetujuan dicapai adalah secara sukarela.
“Para pemimpin akan berada di sini dari 15 hingga 17 November dan diikuti dengan mesyuarat melibatkan pegawai kanan dan menteri-menteri sebelum kemuncak pertemuan pemimpin APEC dari 14 hingga 16 November. ”Jadi Malaysia berharap mesyuarat 21 ketua ekonomi APEC mampu membincangkan bagaimana integrasi kerjasama serantau dapat diperkukuh, terbuka, dinamik dan berdaya tahan seiring dengan Visi Putrajaya 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini pada petang Ahad seiring Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Tengku Zafrul juga berkata Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) Kedua, yang dianjurkan di luar AELM, pada 16 November.
IPEF, rangka kerja kerjasama 14 negara di Indo-Pasifik, telah ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk menangani isu ekonomi jangka panjang, membolehkan rakan kongsi memberi respons dengan segera dan seiring dengan cabaran dan peluang global baharu.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan integrasi ekonomi dalam kalangan ekonomi APEC serta membincangkan cara perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengurangkan impak kerumitan geopolitik dan geoekonomi.
Beliau berkata, seiring memanfaatkan kehadiran Perdana Menteri di San Francisco, MITI juga telah mengatur pertemuan dengan pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok di luar acara AELM.
Ditanya berkenaan krisis geopolitik yang berlaku ketika ini seperti perang Rusia-Ukraine, Israel-Palestin dan perang dagang China-AS, Tengku Zafrul berkata Malaysia sebagai ekonomi terbuka kekal neutral dalam menjalin perdagangan dan pelaburan terutama bersama China dan AS.
“APEC ini agak menarik kerana kedua-dua ekonomi China dan AS adalah sebahagian APEC. Kedua-dua negara tersebut merupakan rakan dagang dan rakan pelaburan terbesar untuk Malaysia.
“APEC ini sebenarnya menjadi pentas untuk persaingan strategik bagi AS dan China di mana jika saya tidak silap, gabungan kedua-dua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dua negara ini menyumbang 60 peratus kepada KDNK dunia.
“Jadi pertemuan bilateral antara Joe Biden dan Xi Jinping dijangka berlangsung pada Rabu ini.
“Malaysia sebagai negara terbuka, kita adalah rakan dagang dan pelaburan kedua-duanya dan kita kekal neutral apabila ia berkait pelaburan dan perdagangan.
“Saya percaya, seluruh dunia menharapkan hasil positif dalam pertemuan dua pemimpin itu, di mana sesuatu yang positif mampu terhasil melalui perbincangan,” katanya.