Kuching: Tumpuan pentadbiran Kerajaan Persekutuan kini boleh dipusatkan sepenuhnya kepada usaha pemulihan ekonomi apabila politik negara semakin stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia cukup bermakna kerana kestabilan itu dicapai genap setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dan beliau mengakui Gabungan Parti Sarawak (GPS) antara penyumbang utama kepada pencapaian itu.
“Genap satu tahun Kerajaan Perpaduan kita kini merancakkan semula ekonomi, Alhamdulillah.
“Saya tidak boleh menafikan hakikat bahawa Premier Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) dan GPS memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Turut hadir, isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden Indonesia, Dr Ma’ruf Amin serta Abang Johari dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
Mengenai GMBF 2023, Anwar berkata, forum itu landasan tepat untuk meneliti serta memberi fokus untuk melaksanakan tindakan bagi merancakkan ekonomi serantau.
Sementara itu, Ma’ruf dalam ucapannya mengajak negara Islam untuk menetapkan visi dan misi untuk mengembangkan industri halal global.
“Fokus diperlukan pada peningkatan investasi bersama dan pembangunan ekosistem halal hub terintegrasi di berbagai kawasan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.
“Saya berharap kita di kawasan kawasan ASEAN dapat menjadi pelopornya,” katanya.