Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional PM mahu syarikat telco komited bantu TVET, PEDi

PM mahu syarikat telco komited bantu TVET, PEDi

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mahu syarikat telekomunikasi komited membantu pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara perkara perlu diberi tumpuan adalah meningkatkan lagi kepakaran dalam bidang digital, yang menurut beliau masih kurang di Malaysia.

Tambah beliau, agenda membantu rakyat juga perlu menjadi tumpuan dan bukan hanya tertumpu kepada agenda pembangunan digital.

“Saya mahu syarikat-syarikat telekomunikasi, dengan asakan baharu, dengan peluang-peluang baharu, beri tumpuan yang lebih supaya agenda pembangunan ini bukan saja kecanggihan teknologi tapi juga bantu rakyat…termasuk melalui PEDi ini.

“Ia adalah supaya kemudahan ini tidak hanya diperoleh melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atau kementerian tapi juga oleh syarikat telekomunikasi yang berkembang maju pada hari ini.

“Dengan cara sedemikian, kita memaknai apa itu keadilan dan juga makna Madani yakni kita mengangkat martabat negara dan dari sudut transformasi digital…ia tercapai dan kita pastikan kemudahan itu meluas ke semua peringkat,” katanya.

Tambah beliau, PEDi merupakan strategi penting dan semua pihak perlu memastikan usaha itu berhasil dan menempa kejayaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com