PUTRAJAYA: Pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus sebulan seperti yang diumumkan sebelum ini akan diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia sejurus rombakan Kabinet yang diumumkan beliau dengan lantikan lima menteri baharu hari ini.
“Pemotongan 20 peratus gaji diteruskan, melainkan Perdana Menteri tidak ada potongan, sebab (Perdana Menteri) tidak ada gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman rombakan Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Pada Disember tahun lalu, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.
Beliau berkata langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.
Seramai lima menteri baharu dilantik untuk menerajui beberapa kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.
Mereka adalah Gobind Singh Deo (Digital), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kesihatan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Perladangan dan Komoditi), Steven Sim (Sumber Manusia) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Kewangan II).