BALING – Peralihan cuaca sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk sekitar daerah baling.
Difahamkan pihak Angkatan Pertahanan Awam daerah baling(APM) semakin kerap menerima laporan kecemasan berhubung kemunculan ular dengan pelbagai spesis reptilia yang merbahaya.
Terbaru, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada jam 4.40 petang di Kampung Keladang, di sini pada petang Sabtu.
Beliau berkata, lima anggotanya bergerak ke lokasi dan sebaik tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular tedung selar itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.
“Anggota kami terpaksa berhati-hati untuk menangkap ular spesis ‘King Cobra’ yang dalam keadaan agresif yang cuba menyerang anggota.
“Ular paling berbisa sepanjang hampir lima meter dengan berat 20 kilogram itu berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan penjerut,” katanya pada Ahad.
Mohd Faizol berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, perubahan cuaca yang berlaku ketika ini menyebabkan punca kehadiran ular pelbagai spesis yang semakin banyak terutama yang bersaiz besar dan berbisa untuk mencari perlindungan dan makanan di kediaman penduduk.
“Untuk kes yang diterima dalam tempoh enam hari pada bulan Januari tahun ini, pihak APM Baling menerima 12 kes berkaitan ular yang mana enam kes itu membabitkan enam ekor ular tedung selar,” ujar beliau.