Wednesday, 27, November, 2024
Utama Nasional PM menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Raja Permaisuri

PM menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Raja Permaisuri

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan Seri Paduka berdua dan paduka-paduka anakanda serta seluruh kerabat diraja diberikan keafiatan.

“Merafak Sembah Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Tuanku Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

“Moga Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat diraja diberi keafiatan dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Daulat Tuanku!,” menurut catatan itu.

Setelah lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah menamatkan penggal pemerintahan hari ini dan pulang ke Kuantan, Pahang, dalam Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com