ALOR SETAR – Polis Kedah mengesan warganegara asing untuk membantu siasatan video tular seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada seorang pelancong asing agar tidak disaman dan dibawa ke balai polis kerana tidak memakai topi keledar di Langkawi.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, setakat ini difahamkan pasangan pelancong berkenaan telah berada di luar negara dan telah dihubungi melalui ‘email’ miliknya.
Usaha tersebut dilakukan bagi membantu siasatan mengesan anggota yang menerima wang terbabit dan siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
“PDRM memandang serius perbuatan itu dan siasatan dilakukan mengikut 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Usaha mengesan saksi-saksi terlibat sedang dijalankan bagi membantu siasatan dan suspek akan dikenalpasti untuk tindakan lanjut,” katanya pada Rabu.
Menurut Fisol Polis Kedah sentiasa peka dan mengambil berat tentang sebarang salahlaku oleh anggota dan pegawai PDRM serta sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang.
Jelasnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta tampil untuk membantu siasatan menghubungi mana-mana balai Polis yang berdekatan.
Isnin lalu, tular sebuah video di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang pelancong warga asing ditahan ketika sedang menunggang motosikal.
Hasil perbualan antara pelancong terbabit dengan individu dipercayai pihak berkuasa mendapati dia perlu membayar RM100 jika tidak mahu disaman dan dibawa ke balai polis.