KUALA NERANG – UMNO Kedah menasihatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyelesaikan segera tunggakan gaji kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) dengan baik tanpa menyalahkan pihak lain.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sikap menunding jari hanya mengeruhkan keadaan malah sebagai ketua kerajaan, Muhammad Sanusi perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu itu dengan baik.
“Kerugian atau tak masa Barisan Nasional (BN) , saya ingat dia (Sanusi) selesaikan dulu gaji atau apa juga elaun apa benda berkaitan staf Kedah Agro ni tambah tambah lagi dah nak raya ni, hari tu dia marah kata macam-macam kata puak-puak ni lintah la apa la.
“Saya ingat tak payah la kata macam tu, ambil lah tanggungjawab pergi bayar, itu adalah tanggungjawab bila jadi ketua dan dia tak payah tuding jari.
“Pada waktu ini kamu adalah ketua dan kamu bertanggungjawab kepada semua,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu selepas mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai di perkarangan Pejabat UMNO Padang Terap di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Muhammad Sanusi yang menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan syarikat berkenaan membayar gaji pekerja yang tertunggak sejak September 2023 kerana tidak membuat untung.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy menafikan perkara itu dan mendakwa Kedah Agro mula mencatat kerugian apabila pentadbiran negeri bertukar kepada PAS pada 2008.
Katanya, ketika itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar dan Muhammad Sanusi adalah Setiausaha Politik kepada Azizan.
Shaiful Hazizy berkata, keuntungan Kedah Agro adalah ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara 2005 hingga 2008 ketika Mahdzir menjadi menteri besar.