Friday, 18, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Tentera darat gagalkan aktiviti seludup ketum hampir satu tan

Tentera darat gagalkan aktiviti seludup ketum hampir satu tan

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Pasukan Tentera Darat yang membuat kawalan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan hampir satu tan ketum pada Jumaat lalu.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, pasukan beroperasi telah mengesan sebuah kenderaan pacuan 4 roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Menurutnya,  anggota bertugas seterusnya cuba untuk menahan kenderaan tersebut untuk membuat pemeriksaan lebih rapi.

“Menyedari kehadiran pasukan beroperasi, suspek yang berada di dalam kenderaan tersebut bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 93 buah bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 930 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM 74,400 berada di dalam

kenderaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, hasil rampasan dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM 99,400 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia, pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan memastikan keselamatan sempadan sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com