Sunday, 24, November, 2024
Utama Sukan Allianz Malaysia raikan 10 tahun Golf Bersama Media

Allianz Malaysia raikan 10 tahun Golf Bersama Media

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) meraikan ulangtahun ke-10 Kejohanan Golf Bersama Media Allianz di Saujana Golf and Country Club (SGCC) dengan pusingan golf yang memberangsangkan.

Sebagai satu kejohanan golf bersama media yang masih lagi dianjurkan oleh syarikat korporat, kejohanan ini telah berjaya menarik minat pemain-pemain golf dari tahun-tahun sebelumnya.

Kejohanan tahun ini berjaya menarik penyertaan sejumlah 70 pemain golf termasuk pemain golf media tempatan, badan pengurusan kanan dan kakitangan Allianz Malaysia.

Antara pemain-pemain golf yang menyertai kejohanan tahun ini adalah Berita Harian, Media Prima, Harian Metro, New Straits Times, Media Mulia yang terdiri daripada Kosmo, Utusan Malaysia dan The Malaysian Reserve; The Star, Astro, Bernama, The Edge, Sinar Harian, RTM, TV3, Cakap Sukan Online, Utusan TV, Par Golf, Suara Merdeka, Persatuan Penulis Sukan (S.A.M.), Golf Malaysia, The Club House dan National Press Club (NPC).

Allianz Malaysia diwakili oleh Pengerusinya, Zakri Khir, Ahli Lembaga Pengarah Peter Ho Kok Wai dan Wong Kok Leong serta Ketua Pegawai Kewangan, Giulio Slavich pada kejohanan tersebut.

“Matlamat kami di Allianz Malaysia adalah untuk menyemai semangat kerjasama yang bermakna dengan pihak media kerana kami menghargai peranan mereka dalam menjadi perantara komunikasi antara kami serta membina komuniti yang berilmu dan masyarakat yang peka kepada isu-isu semasa.

“Kadang-kala kita terlepas pandang usaha dan cabaran yang media jalankan dalam tugas-tugas harian mereka dalam mengetengahkan isu-isu penting dan bagi syarikat korporat seperti kami, memfokuskan kepada nilai, inovasi dan pencapaian kami. Oleh yang demikian, kejohanan golf ini adalah cara kami untuk menzahirkan penghargaan kami kepada rakan-rakan media,” kata Giulio.

Selepas berentap 18-lubang, Mahathir Mohd Sidi dari Media Prima dinobatkan juara dengan 37 mata dan membawa pulang Pakej HarianGreen Fee Full Flight Baucar Golf bernilai RM2,000.

James Morrison dari Astro menang tempat kedua dengan 37 mata pada kiraan semula dan menerima hadiah Pakej Harian Green Fee Half Flight Baucar Golf bernilai RM1,500.

Tempat ketiga dimenangi oleh L. Jaiarajo dari Bernama (37 mata), yang telah memenangi baucar AEON bernilai RM500.

Kejuaraan kategori berpasukan dirangkul oleh pasukan Ismadi Manap (RTM), James Morrison (Astro), Azizi Fikry (Sinar Harian) dan Wong Kok Leong (Allianz Malaysia) dengan jumlah markah 108 mata.

Pemenang tempat kedua jatuh kepada pasukan Zaharuddin Mohamad (Media Mulia), Azlan Naim Abdullah (Utusan TV), L. Jaiarajo (Bernama) dan Rastam Ariffin (Allianz Malaysia) dengan 104 mata.

Pemenang tempat ketiga disandang oleh pasukan yang terdiri daripada Mahathir Mohd Sidi (Media Prima), Intan Farhana (The Edge), Amirullah Andi Nur (Berita Harian) dan Cheah Lye Cheong (Allianz Malaysia).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com