Saturday, 23, November, 2024
Utama Negeri Lelaki maut dipercayai dilanggar kenderaan mengundur sendiri

Lelaki maut dipercayai dilanggar kenderaan mengundur sendiri

oleh Ammar Haziq

SIK – Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan miliknya yang tiba-tiba mengundur dalam satu kejadian di Kampung Pasir Putih, Jalan Padang Pulut, Jeneri, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pejabat pertanyaan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik menerima panggilan berhubung seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah kenderaan pacuan empat roda di lokasi kejadian pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berlaku semasa mangsa, Lim Gok Hong, baru keluar dari kebun betik miliknya untuk pulang ke rumahnya di Yan.

“Sebaik tiba di jalan masuk ke kebun, mangsa meletakkan gear dalam keadaan neutral (N) dan hanya menarik brek tangan separuh sebelum turun dari kenderaannya untuk menutup pintu pagar kebunnya itu.

“Sewaktu mangsa menutup pintu pagar, secara tiba-tiba kenderaan itu mengundur ke belakang lalu melanggar mangsa menyebabkan mangsa tersepit di bawah kenderaan,” katanya pada malam Selasa.

Jelasnya, mayat mangsa berusia 59 tahun itu ditemui berada dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com