Thursday, 19, September, 2024
Utama Sukan Sanusi sifatkan sistem Bola sepak Malaysia gagal

Sanusi sifatkan sistem Bola sepak Malaysia gagal

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Sistem bola sepak Malaysia didakwa gagal apabila beberapa pasukan tidak mampu bersaing dan kini sedang berdepan dengan masalah kewangan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelab-kelab bolasepak di negeri ini juga didakwa tidak mampu mengikuti pengurusan yang dibuat oleh sebuah pasukan di negara ini.

“Sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri-negeri membuat penampilan menguruskan pasukan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat sebab dipaksa ikut satu negeri saja, itu pun bukan negeri tapi kelab. 

“Kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan? Saya kata sistem tak betul, berhentilah ikut satu pasukan itu, cukup-cukuplah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata demikian mengulas dakwaan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain yang telah tertunggak selama beberapa bulan.

Ekoran masalah tersebut, pemain Sang Kenari didakwa telah memboikot sesi latihan sejak Selasa lalu.

Jelas beliau, sumbangan sebanyak RM2 juta telah disalurkan melalui KFA untuk membantu KDA FC bagi membayar keperluan dan untuk urusan lesen kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak melepaskan tangan dan sokongan turut diberikan melalui tajaan syarikat anak negeri.

“Jangan kata Menteri Besar buat tak tahu tapi untuk gaji dan kekalkan pasukan, syarikat kena usahakan. Jangan suruh saya pakai duit kerajaan, ada netizen kata macam-macam kepada saya sebab bola.

“Mereka pun tak faham yang MFL sudah tetapkan pasukan-pasukan ini diswastakan. Bukan lagi bawah persatuan dan bukan mewakili kerajaan negeri pun tapi kita sokong juga setakat yang boleh,” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, KDA FC perlu mengkaji kembali sistem pengurusan yang digunakan terutamanya bagi menguruskan pembayaran gaji pemain yang terlalu tinggi.

“Kita tetap sokong melalui tajaan anak syarikat negeri, masih ada tapi tak mampu tampung semua perbelanjaan. Saya pernah kata kita pergi main tempat lain sebab gaji pemain terlalu mahal, bukan sebab kita tak mampu. Dahulu masa zaman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bayar gaji, kita boleh menang sampai Piala Malaysia, gaji baru RM6,000 ke RM7,000 masa itu.

“Mengapa sekarang gaji berpuluh ribu, tapi pasukan lingkup? Tentu ada salah sistem ini, kena kaji balik. Tengok balik kemampuan pasukan, saya rasa bukan KDA FC sahaja, negeri lain juga hadapi masalah kewangan juga. Saya malas sentuh negeri lain,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com