Friday, 18, October, 2024
Utama Negeri Langkawi Skywalk jamin kebajikan arwah Khairul Nizam, keluarga tidak diabaikan

Langkawi Skywalk jamin kebajikan arwah Khairul Nizam, keluarga tidak diabaikan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Langkawi Skywalk Sdn Bhd memberikan jaminan syarikat itu tidak akan mengabaikan kebajikan Allahyarham Khairul Nizam Jaafar, 41 yang maut terjatuh semasa kerja penyelengaraan Eagle’s Nest Skywalk di Langkawi pada Khamis lalu.

Pihaknya dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, mangsa merupakan kakitangan syarikat yang bertugas sebagai juruteknik elektrik.

Menurutnya, pasukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah datang untuk melakukan penyiasatan terhadap kejadian tersebut dan syarikat itu telah memberikan kerjasama yang menyeluruh bagi membantu siasatan.

“Pihak syarikat tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa dan keluarga beliau dimana pihak syarikat akan membantu mengikut saluran-saluran sediada.

” Untuk perhatian selanjutnya, kawasan kemalangan bukanlah kawasan kunjungan awam. Pihak kami ingin menegaskan bahawa kawasan lantai kaca untuk kunjungan awam atau pelawat berada di dalam keadaan yang selamat dan tidak terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat itu juga menegaskan pihaknya telah mengikut SOP keselamatan seperti yang telah ditetapkan didalam semua keadaan.

“Untuk butiran hasil siasatan penuh, pihak kami serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) menjelaskan juruteknik yang terjatuh daripada besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang bukan pekerja atau kontraktor syarikat itu.

Justeru PLSB berkata, laporan media yang memetik bahawa individu terbabit sebagai pekerja kereta kabel yang terjatuh daripada kereta kabel adalah tidak benar.

PLSB yang merupakan operator kereta kabel Langkawi atau Langkawi SkyCab, menjelaskan perkhidmatannya beroperasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraandijadualkan pada waktu tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com