Friday, 18, October, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah 1.2 tan daun ketum gagal diseludup keluar negara

1.2 tan daun ketum gagal diseludup keluar negara

oleh Ammar Haziq

KUALA NERANG – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengagalkan cubaan lima lelaki yang cuba menyeludup 1.2 tan daun ketum ke negara jiran melalui laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia – Thailand pada 25 September lalu.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pasukan operasi 2 Divisyen berjaya mengagalkan aktiviti penyeludupan itu di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

Menurutnya, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan lima orang lelaki yang menaiki tiga buah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia.

“Hasil pemeriksaan didapati bahawa dua daripada tiga buah kenderaan tersebut dipenuhi dengan muatan 120 buah plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 1,200 kilogram (1.2 tan).

“Kesemua daun ketum tersebut cuba dibawa keluar dari negara ini ke Thailand melalui laluan yang tidak sah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kelima-lima lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia berumur 19 hingga 45 tahun.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk tiga buah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, Nissan Navara dan Isuzu D-Max, lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama dan lain-lain barangan peribadi adalah berjumlah RM 327,572.13.

“Kesemua barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com