JITRA – Seorang kontraktor dan anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, pada 4 September lalu.
Namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris pada Khamis selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepada Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mazuan dan Muhd Asyraf didakwa secara bersama melakukan bunuh dengan niat ke atas Sabari pada jam 5.30 pagi pada 4 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap dalam daerah Kubang Pasu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.
Sementara itu, pendakwaan tersebut dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Noridien serta Mohamad Rizal Fadzil.
Nurul Huda menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari tahun depan.
Dalam pada itu, Suraiya Izzati, 29, anak kepada Sabari Baharom,62 berharap kes pembunuhan ayahnya akan menjadi pengajaran oleh orang ramai.
Menurutnya, dia juga berharap kejadian yang menimpa bapanya itu akan mendapat keadilan sebaik mungkin.
“Setiap negara ada undang-undang jadi tak boleh kita nak buat sesuka hati dan anggap kita akan terlepas hukuman,” katanya semasa ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret Jitra.
Jelasnya, itu adalah kali pertama dia melihat kedua-dua suspek yang membunuh ayahnya sejak kehilangan pesara pegawai Felcra terbabit.
” Tapi tak nampak muka mereka.Sampai hati mereka buat macam tu kat ayah saya,” katanya sebak.
“Setiap hari saya berdoa semoga jasad ayah ditemui supaya kes ini menjadi lebih mudah,” ujarnya yang akan mengikuti setiap perkembangan perbicaraan kes bapanya di mahkamah jika mempunyai kelapangan.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh pada Rabu mengesahkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Sabari dan dokumen dirujuk kepada Khairul Anuar pada Isnin lalu.
Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September.
Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.