ALOR SETAR – Seorang aktivis politik, Zamil Ibrahim, mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah seorang pendakwah selebriti yang telah membuat laporan rasuah terhadapnya.
Beliau menegaskan bahawa laporan tersebut bertujuan untuk merosakkan reputasinya serta menjejaskan karier politiknya.
Menurut Zamil, tuduhan rasuah tersebut juga bertujuan untuk menjejaskan kredibilitinya sebagai saksi dalam satu kes mahkamah yang melibatkan pendakwah berkenaan.
Aktivis politik itu baru sahaja dilepaskan dari tahanan reman berhubung siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
“Laporan SPRM oleh pendakwah tersebut saya anggap sebagai palsu dan fitnah jahat yang bertujuan untuk menganiaya saya, merosakkan reputasi saya dan menjejaskan karier politik saya,” kata Zamil dalam satu sidang media.
Zamil turut menyatakan bahawa laporan SPRM tersebut turut menjejaskan nama baik polis termasuk IPD Dang Wangi Kuala Lumpur berhubung dengan satu laporan polis yang pernah dibuatnya pada 20 Oktober tahun lalu yang berkaitan dengan penyalahgunaan wang derma oleh pendakwah terlibat.
Dalam penjelasannya, Zamil menyatakan bahawa tuduhan ke atas dirinya yang didakwa boleh mengarahkan pihak berkuasa menghentikan siasatan terhadap pendakwah tersebut adalah tidak berasas.
Beliau mendakwa, dihubungi oleh pendakwah tersebut dua minggu lalu untuk menyelesaikan pertelingkahan antara mereka yang kemudiannya membawa kepada pertemuan terakhir sebelum penahanannya oleh SPRM.
“Saya tidak pernah menjangkakan pertemuan kedua saya dengan pendakwah tersebut di masjid yang disertai dengan wang dan kehadiran pihak SPRM Kedah. Saya tidak pernah meminta wang, menetapkan harga atau meminta apa-apa.
“Pendakwah tersebut hadir di pekarangan masjid untuk bertemu pada 5 November lalu selepas saya selesai solat jenazah dan membawa wang,” jelas Zamil.
Zamil mendakwa bahawa selepas pertemuan tersebut, pihak SPRM Kedah tiba dan menyatakan bahawa terdapat cubaan merasuah.