Friday, 15, November, 2024
Utama Umum Empat graduan PhD seliaan Dr Rozaina naik pentas bersama

Empat graduan PhD seliaan Dr Rozaina naik pentas bersama

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM), menyambut kejayaan luar biasa apabila empat pelajar Doktor Falsafah (PhD) seliaannya berjaya menaiki pentas bersama dalam Majlis Konvokesyen Ke-37.

Pro-Canselor, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, telah menyampaikan ijazah kepada Dr. Annie Margaret (PhD Kaunseling), Dr. Arafat Razali (PhD Pengajian Sosial), Dr. Miftahul Jannah (PhD Psikologi), dan Dr. Yusnita Ibrahim (PhD Kaunseling).

Dr. Rozaina meluahkan rasa bangga dan terharu dengan kejayaan anak didiknya yang telah menempuhi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Saya berharap ilmu yang diperoleh oleh graduan ini dapat dimanfaatkan dalam kerjaya mereka serta memberi impak positif kepada masyarakat dan bidang kajian masing-masing,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam menyelia pelajar antarabangsa, antaranya Dr. Miftahul Jannah, pensyarah dari Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Indonesia.

Menurut Dr. Rozaina, menyelia pelajar antarabangsa memerlukan pendekatan yang berbeza, termasuk memahami keadaan sosio-budaya serta cabaran kewangan pelajar yang membiayai sendiri pengajian mereka.

Pandemik Covid-19 juga telah memberi kesan besar kepada proses penyeliaan.

Dr. Rozaina menjelaskan bahawa pengumpulan data terpaksa disesuaikan dengan situasi semasa, termasuk perubahan kepada kaedah penyelidikan yang lebih bergantung kepada teknologi digital.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama para graduan, tetapi juga mencerminkan kualiti penyeliaan dan program akademik UUM di peringkat antarabangsa.

“Graduan ini adalah duta UUM. Pencapaian mereka membuktikan kualiti penyelidikan dan komitmen yang tinggi dalam proses penyeliaan. Kejayaan mereka adalah hasil kerjasama dan komunikasi yang berterusan antara pelajar dan penyelia,” tambahnya.

Kejayaan ini memberikan inspirasi kepada pensyarah dan penyelia lain di UUM, serta menjadi bukti dedikasi dan usaha gigih Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani dalam membimbing pelajarnya mencapai tahap tertinggi dalam bidang akademik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com