KUBANG PASU– Polis berjaya menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditahan dalam satu operasi pada Selasa di kawasan susur keluar lebuh raya Malau arah selatan, dekat sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, unit MPV Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kubang Pasu sedang membuat rondaan di sekitar daerah itu ketika kejadian berlaku.
“Mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Chery hitam yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan susur keluar lebuh raya Malau arah selatan.
“Ketika dihampiri, pemandu kenderaan tersebut bertindak memecut sejauh kira-kira dua kilometer sebelum terbabas ke bahu jalan di simpang tiga menghala Asun, Jitra,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pemandu kereta tersebut, seorang warga tempatan berusia 28 tahun, cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.
Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut menemui lima lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar berusia antara 26 hingga 43 tahun.
“Mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan dalam perjalanan menuju ke Sungai Petani,” ujarnya.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali, atau tidak lebih dari enam sebatan.