ALOR SETAR – Polis masih mengesan keberadaan Siti Rohani Saad, 37, yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November lalu namun mangsa masih gagal ditemui sehingga hari ini
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, memaklumkan bahawa sejak kejadian itu, polis telah mengambil keterangan daripada lapan individu termasuk keluarga, majikan, dan rakan-rakan mangsa bagi membantu siasatan.
“Operasi mencari dan menyelamat oleh pelbagai agensi hanya menemui motosikal mangsa. Siti Rohani serta barangan peribadinya masih hilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Khamis.
Menurut Syed Basri, polis sedang menyiasat keberadaan wanita tersebut dan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Siti Rohani. Gambar mangsa telah diedarkan untuk membantu siasatan kes Orang Hilang (OH).
“Sesiapa yang mengenali Siti Rohani seperti dalam gambar ini boleh menghubungi kami atau datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa siasatan menyeluruh dijalankan termasuk memeriksa transaksi pengeluaran wang tunai melalui akaun wanita itu sebelum dia dilaporkan hilang.
Setakat ini, tiada tuntutan diterima oleh keluarga wanita tersebut, menunjukkan kemungkinan penculikan tidak berlaku.
Polis berharap wanita itu dapat ditemui segera dan siasatan dilakukan secara menyeluruh sama ada melibatkan kes jenayah atau sebaliknya.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan, di sini pada 8 November lalu.
Siti Rohani yang masih bujang dikatakan keluar dari rumahnya pada jam 6 pagi dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena untuk ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, Alor Setar.