ALOR SETAR– DSAT Group Sdn Bhd telah menyerahkan Surat Tuntutan (LOD) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad.
Surat tersebut diserahkan melalui peguam mereka, Tetuan Gunaseharan & Linda, berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi pada 7 November lalu di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek, menyatakan bahawa surat tuntutan tersebut menuntut agar Muhammad Sanusi memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya, dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 bilion.
Muhammad Sanusi, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), diberikan tempoh 10 hari untuk memenuhi tuntutan tersebut.
“Jika beliau gagal mematuhi segala tuntutan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, DSAT Group dan MMC akan memulakan prosiding di mahkamah dengan serta-merta tanpa memaklumkan kepada YAB Menteri Besar Kedah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Muhammad Sanusi belum menerima LOD daripada DSAT Group berhubung kenyataannya tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 7 November lalu.
Beliau menyatakan bahawa saman tersebut akan menjadi sejarah jika benar-benar berjumlah RM1 bilion. Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kenyataannya adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.
“Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa. Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu).
“Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia tokak (gigit) cabai. Saya pun tak tahu dia tokak ke tidak,” katanya.