PADANG TERAP– Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah membongkar kegiatan seorang lelaki warga emas menjadikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang baru dibina di Kampung Sireh, Mukim Tekai Kiri, Naka, di sini sebagai tempat transit untuk pendatang tanpa izin (Pati) pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kedah (Pengurusan), Siti Zaharah Zakaria berkata, satu serbuan dilakukan pada jam 8.30 pagi ke rumah tersebut.
Menurutnya, , lelaki tempatan berusia 62 tahun yang dipercayai tekong darat ditahan bersama tiga lelaki lain yang dipercayai ‘transporter’ serta 22 Pati warga Myanmar yang baru tiba di negara ini pada jam 12.30 tengah hari pada Jumaat.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menerima tawaran Pati melalui ejen di negara jiran dan menggunakan kenderaan sewa sebagai transporter.
“Pati dikenakan bayaran sebanyak RM6,500 setiap seorang untuk memasuki negara ini yang perlu dibayar kepada ejen di negara asal mereka. Tekong tempatan pula menerima bayaran sebanyak RM1,000 seorang untuk menghantar ke destinasi lain mengikut permintaan, ” katanya.
Semua Pati yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan tujuh wanita.
Jelas Siti Zaharah, turut ditahan adalah seorang wanita Myanmar yang sedang hamil tiga bulan bersama suaminya.
Hasil pemeriksaan mendapati semua Pati terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk masuk ke negara ini.
Kesemua Pati warga Myanmar itu direman selama 14 hari sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Belantik di Sik dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Suspek warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26F Akta Imigresen 1959/63 iaitu menyediakan kemudahan bagi membantu penyeludupan, Seksyen 26H akta yang sama iaitu menyembunyi atau melindungi migran yang diseludup dan Seksyen 26J iaitu kesalahan mengangkut migran yang diseludup.
Sementara itu, lelaki warga emas tempatan itu mendakwa mengakui bahawa dia hanya dibayar upah oleh ketua sindiket.
“Mereka (sindiket) selalu bagi upah RM100 ke RM200 sahaja untuk sekali. Saya sediakan makan minum dan bayaran transit asing. Duit minyak mereka tidak bagi,” katanya.