ALOR SETAR – Polis mengesahkan penemuan mayat wanita di tebing Sungai Kedah, kawasan Alor Mengkudu, pada 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata,Pusat Kawalan Daerah menerima panggilan awam mengenai penemuan tersebut pada jam 2.35 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal oleh pihak polis mendapati mayat tersebut dalam keadaan mereput tetapi masih lengkap berpakaian.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar yang dipakai oleh mangsa.
“Polis sedang menyiasat kemungkinan penemuan mayat ini berkaitan dengan kejadian seorang perempuan yang dilaporkan hilang sejak dua bulan lalu,” katanya.
Pada 8 November tahun lalu, seorang perempuan dilaporkan hilang setelah motosikalnya ditemui di dalam sungai yang sama, kira-kira 10 kilometer dari lokasi penemuan mayat tersebut.
Siti Nor Salawati berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Pihak polis juga telah memanggil waris kepada perempuan yang dilaporkan hilang untuk tujuan pengecaman dan menjalani proses perbandingan DNA.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat diperolehi,” katanya lagi.
Tambahnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan.