ALOR SETAR – Polis sedang menyiasat kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard pada Selasa yang mengorbankan dua mangsa yang disyaki sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata seramai lima suspek lelaki ditahan susulan kejadian kebakaran tersebut dan direman sehingga 27 Januari untuk membantu siasatan.
Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa warga emas, Ibrahim Mydin, 61.
“Suspek merupakan penagih dadah tegar dan selepas itu polis menahan empat lagi suspek iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Myanmar berusia antara 19 hingga 53 tahun.
“Tiga daripada mereka positif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Rabu.
Menurutnya, tiga daripada lima suspek yang ditahan disyaki sebagai suspek utama kejadian tersebut salah seorang suspek, iaitu anak saudara mangsa yang juga seorang penganggur, tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.
“Penahanan suspek pertama dibuat hasil petunjuk daripada laporan polis yang dibuat mangsa sehari sebelum kejadian berhubung kecurian telefon bimbitnya.
“Walau bagaimanapun, mangsa menarik balik laporan polis tersebut selepas suspek menyerahkan semula telefon bimbit itu,” katanya lagi.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi oleh pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol serta kesan petrol.
“Salah seorang suspek dipercayai mencurahkan petrol dan membakar rumah tersebut sehingga menyebabkan dua maut.
“Kelima-lima suspek kini direman sehingga 27 Januari depan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Pada Selasa, media melaporkan dua lelaki rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard.
Mangsa dipercayai seorang warga emas berusia 61 tahun dan anak angkatnya berusia 23 tahun.
Identiti sebenar mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan berikutan keadaan mayat yang rentung.