ALOR SETAR- Usaha Kerajaan Madani membangunkan semula Gaza adalah langkah kanan dalam memperkasakan lagi kerumpunan umat Islam.
Pengerusi Duat Al-Falah (DAF), Ahmad Faiz Al Azhari berkata pihaknya memuji tindakan pantas kerajaan yang sentiasa peka dan mengambil cakna terhadap kebajikan dan keselamatan umat Islam di Palestin.
“Melalui inisiatif murni ini, usaha kerjasama dengan negara-negara Asia Timur juga adalah satu langkah yang sangat bijak bagi membina naratif Israel sebagai penjajah biadap yang dan tidak berhati perut.
“Duat Al-Falah akan menyokong usaha murni Kerajaan Madani dengan menggerakkan kempen dan memperbanyakkan wacana serta program-program bagi memberi kefahaman kepada masyarakat Malaysia untuk bersama kerajaan membina semula Gaza,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata Duat Al-Falah juga akan sentiasa menyokong dan mendokong usaha Kerajaan Madani dalam membantu rakyat Palestin di Gaza yang telah dizalimi dan dicabul hak mereka.
“Semoga usaha kita semua diganjari dengan setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah SWT dan membenarkan janjiNya bagi pembebasan Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dalam masa terdekat Insha Allah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Pada 19 Januari lalu, gencatan senjata telah dipersetujui antara pihak Ḥarakah al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah (HAMAS) bermaksud ”Gerakan Perjuangan Islam” dengan regim zionis Israel setelah hampir 15 bulan regim itu melakukan pembunuhan beramai-ramai secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Sepanjang 15 bulan juga dunia telah menyaksikan kekejaman dan ketidak perikemanusiaan yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza yang dibedil sehingga mengorbankan lebih dari 46,000 orang rakyat Palestin.