FOTO EHSAN/HIASAN
ALOR SETAR – Pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa hari ini akan memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat dalam mendepani situasi ekonomi semasa..
Bagi pekerja di sektor makanan dan minuman, Nurul Asyikin Mohd Nazri, 25, dia sangat bersyukur dengan kenaikan gaji itu berikutan menetap di Pulau Pinang dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Katanya, langkah itu memberi ruang kepada ramai pekerja untuk lebih cekap menguruskan kewangan bulanan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan perintah gaji minimum RM1,700, untuk anak muda seperti kami yang sedang membina kehidupan, selepas ini kami bercadang nak beli rumah.
“Mungkin kerajaan boleh menetapkan satu mekanisme untuk memastikan lebih ramai anak muda dapat membeli rumah, saya harap perintah gaji RM1,700 akan dinaikan lagi secara berperingkat mengikut cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Bagi seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital di sini, Muhammad Shakid Yahya, 29, dia sangat gembira dengan pelaksanaan perintah gaji berkenaan berikutan sudah mempunyai tanggungan.
“Sekarang saya sudah ada anak, apabila gaji naik memang sangat membantu, banyak barang keperluan yang perlu dibeli, saya rasa lebih berbaloi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, bagi peniaga gerai makan, Nur Adila Abdul Rashid, 42, berkata dia berharap rezekinya akan bertambah selepas pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,700.
“Walaupun saya berniaga kecil-kecilan tapi saya yakin kuasa beli akan meningkat selepas ini, peniaga seperti kami pun akan turut terkena tempias daripada pelaksanaan perintah gaji ini,” katanya yang merupakan ibu tunggal.
Seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.