Sunday, 23, February, 2025
Utama Nasional Malaysia Perancis senada tingkat kerjasama

Malaysia Perancis senada tingkat kerjasama

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Datuk Seri Anwar Ibrahim senada dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai menerusi perbualan telefon beliau bersama Presiden Perancis itu semalam susulan pertemuan mereka di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu.

“Saya turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam.

Perdana Menteri berkata beliau dan Macron juga sepakat untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian.

Anwar turut menyatakan kesediaan kerajaan Malaysia untuk menerima kehadiran Macron serta delegasinya ke Malaysia pada Mei ini bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Dalam kesempatan yang ada, saya turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com