Saturday, 1, March, 2025
Utama Nasional Kerajaan segerakan pembangunan semula Gaza menerusi wakaf

Kerajaan segerakan pembangunan semula Gaza menerusi wakaf

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Malaysia dalam menyambut saranan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi tujuan itu, beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

“Menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, saya menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecah belah umat.

“Saya turut ulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain tempoh hari, terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam
meraikan Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri, di Seri Perdana malam tadi.

Terdahulu Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menyertai Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra, Putrajaya.

Anwar turut berkongsi kupasan Sheikh Dr Ekrima sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk “Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa disisi Islam”, iaitu sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

“Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.

“Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda.

” Saya turut zahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ikrimah sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital, di samping menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan MADANI.

Katanya, ia bagi membolehkan umat Islam bersaing dalam dunia yang sengit dan mencabar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com