TANAH MERAH – Suasana pilu menyelubungi Kampung Aira, Kuala Tiga apabila mayat Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, ditemukan dalam keadaan terbujur kaku selepas lebih 60 jam dilaporkan hilang.
Penemuan jasad anak tunggal pasangan Azean Nur Atikah, 34, dan Mohd Hafifi Saidi, 34, itu membawa titik noktah kepada pencarian yang penuh harapan, namun berakhir dengan berita duka.
Mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 4.15 petang pada Rabu tersangkut pada pokok di tepi sungai, tiga kilometer dari rumah neneknya.
Dalam keadaan tubuh kecilnya masih berpakaian seperti hari dia dilaporkan hilang, jasad Hud Aryan menjadi saksi bisu tragedi yang meruntun hati keluarga dan penduduk kampung.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman, pada hari Selasa, mereka telah melalui kawasan ini menggunakan bot, tetapi paras air yang dalam menyukarkan pencarian.
Kehilangan Hud Aryan disedari oleh ahli keluarga pada Isnin, apabila kanak-kanak itu tiba-tiba hilang dari rumah neneknya yang hanya berjarak 90 meter dari anak sungai.
Sejak itu, pencarian tidak pernah terhenti, dengan harapan kecil bahawa dia masih selamat, namun, takdir berkata sebaliknya.
Jenazah Hud Aryan telah diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian.
Kepergiannya meninggalkan luka yang dalam, bukan sahaja dalam hati ibu bapanya, tetapi juga seluruh penduduk kampung yang menyaksikan tragedi memilukan ini.