Friday, 14, March, 2025
Utama Nasional PM turun ke bazar Ramadan tanda prihatin kepada kami – peniaga kecil

PM turun ke bazar Ramadan tanda prihatin kepada kami – peniaga kecil

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi menunjukkan komitmennya terhadap kebajikan rakyat apabila beliau turun padang melawat peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Seksyen 2, Shah Alam, di sini pada petang Khamis.

Lawatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan golongan peniaga kecil serta memantau harga dan kualiti makanan sepanjang Ramadan.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 6.15 petang disambut mesra oleh peniaga dan orang ramai.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi.

Dalam lawatan ringkas selama 20 minit itu, Anwar mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan para peniaga dan mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai perniagaan mereka.

Seorang peniaga otak-otak, Baharudin Bahman, 49, berkongsi keterujaannya apabila Perdana Menteri bukan sahaja singgah di gerainya, malah turut memberi nasihat berguna.

“Beliau menasihati saya supaya berniaga dengan berhemah, mengawal harga jualan agar kebajikan pengguna dapat dijaga, serta memastikan kebersihan gerai sentiasa terjaga,” katanya.

Seorang lagi peniaga kuih, Nooramimi Rosdi, 40, mengakui terharu dengan kesudian Perdana Menteri meluangkan masa bersama peniaga kecil seperti mereka.

“Ini kali pertama saya berjumpa Perdana Menteri, dan saya gementar tetapi teruja. Lawatan ini membuktikan keprihatinan beliau terhadap nasib peniaga kecil seperti kami,” ujarnya.

Lawatan ini turut memberi penekanan kepada pemantauan harga makanan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Perdana Menteri sebelum ini telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meningkatkan pemantauan harga di bazar Ramadan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Keprihatinan ini amat penting dalam keadaan ekonomi yang mencabar, di mana kenaikan harga barang mentah boleh memberi kesan kepada peniaga dan pembeli.

Langkah ini juga seiring dengan hasrat kerajaan untuk mengekalkan keseimbangan antara keuntungan peniaga dan kebajikan rakyat.

Selain memantau harga, Perdana Menteri turut meninjau pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang dikendalikan oleh KPDN Selangor.

Inisiatif ini bertujuan untuk merancakkan penggunaan transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil.

Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, seramai 6,000 pengunjung yang hadir ke reruai kementerian itu di bazar berkenaan menerima tambah nilai Touch ‘n Go sebanyak RM20.

Langkah ini diharapkan dapat menggalakkan peniaga kecil untuk beralih ke arah perniagaan tanpa tunai, yang bukan sahaja lebih selamat tetapi juga lebih efisien.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com