Wednesday, 2, April, 2025
Utama Sukan Tabung Aidilfitri kumpul RM200,000, ringankan beban Pemain KDA FC

Tabung Aidilfitri kumpul RM200,000, ringankan beban Pemain KDA FC

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Tabung Aidilfitri yang dilancarkan bagi membantu pemain dan pegawai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah berjaya mengumpulkan RM200,000 hasil daripada sumbangan pelbagai pihak, menunjukkan solidariti masyarakat terhadap pasukan bola sepak kebanggaan negeri Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, memaklumkan bahawa kutipan tabung yang berlangsung selama enam hari itu diterima dengan sambutan memberangsangkan.

“Setiap kali kita melaksanakan inisiatif kecil seperti Tabung Aidilfitri ini, ia memberikan mesej yang kuat kepada pemain-pemain bahawa mereka mendapat sokongan padu daripada rakyat Kedah walaupun pasukan berada pada kedudukan ke-11 liga ketika ini,” katanya semasa majlis penyerahan sumbangan Tabung Aidilfitri kepada pemain dan pegawai KDA FC di sebuah hotel di Alor Setar.

Dalam majlis tersebut, seramai 25 pemain pasukan KDA FC bersama 15 pegawai pasukan menerima sumbangan tunai dan bakul barangan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Usaha ini bertujuan meringankan beban kewangan mereka, terutamanya setelah media melaporkan bahawa pasukan tersebut menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa pemain-pemain pasukan mengalami tunggakan gaji hampir setahun, mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan pasukan bola sepak yang pernah digeruni dalam arena bola sepak tempatan.

Saifuddin juga mengesahkan bahawa beliau telah memulakan perbincangan awal dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, mengenai hala tuju pasukan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan pemilikan saham pasukan.

“Tan Sri Daud adalah sahabat rapat saya. Beliau telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan pasukan ini terus bertahan, dan beliau adalah tokoh korporat yang sangat disegani terutama dalam bidang kewangan Islam di dalam dan luar negara,” tambahnya.

KDA FC kini berada di kedudukan ke-11 Liga Super, dengan hanya tinggal empat perlawanan sebelum musim tamat.

Saifuddin berharap bahawa mesej sokongan seperti Tabung Aidilfitri ini mampu memberi semangat kepada pemain untuk terus melangkah maju, walaupun berdepan cabaran besar.

Tragedi kewangan yang melanda pasukan turut menjadi perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa KDA FC berkemungkinan tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com