ALOR SETAR:”Terima kasih kerajaan kerana berikan kuota data minimum 5GB, dapat lah kami gunakan sepuasnya pada hari raya nanti,” kata Nur Shazira Md Zahir.
Pelajar berusia 21 tahun ini berkata dia sangat gembira apabila kerajaan membuat pengumuman itu dan sememangnya ia amat bermakna buat dirinya.
“Selalu pada Hari Raya Pertama saya akan gunakan kuota data yang lebih banyak kerana akan berhubung dengan keluarga sebelah ibu saya yang berada di Medan, Indonesia, dapat lah kami mengeratkan lagi silaturahim antara kami.
“Kami akan membuat panggilan video di pagi raya, sekurang-kurangnya saya sudah ada data tambahan yang diberikan kerajaan,” katanya yang tinggal di Sik.
Sementara itu, Noorkhiriah Abdullah, 41, berkata sebagai suri rumah, data percuma itu sangat bermakna buat dia dan keluarga untuk berhubung dengan sanak saudara.
“Alhamdulillah, kerajaan sentiasa mencari alternatif dalam membantu rakyat, semoga lebih banyak lagi insentif akan diberikan kerajaan untuk rakyat terutama membabitkan golongan B40,” katanya.
Semalam Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi
mengumumkan pemberian insentif rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data
minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia (prabayar dan pascabayar) pada Hari Raya Aidilfitri pertama.
Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma
dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.
Antaranya, CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.