Tuesday, 8, April, 2025
Utama Ekonomi Tarif AS: Malaysia tidak alami kemelesetan ekonomi buat masa ini

Tarif AS: Malaysia tidak alami kemelesetan ekonomi buat masa ini

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan pelaksanaan tarif 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyangkal kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi buat masa ini.

Dalam satu kenyataan menerusi hantaran video, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa asas makroekonomi negara kekal kukuh , sekali gus menjadi faktor utama yang menyokong kestabilan ekonomi Malaysia walaupun berdepan cabaran global.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa jika tarif tersebut benar-benar dilaksanakan, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus mungkin perlu disemak semula.

“Buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan ekonomi berlaku di Malaysia,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS, menunjukkan pendirian diplomatik yang matang dalam menyelesaikan isu perdagangan ini.

Jelasnya, Kerajaan MADANI sedang melaksanakan langkah-langkah yang tepat, pantas, dan tenang untuk menangani tarif unilateral yang dikenakan oleh AS.

“Matlamat kami jelas yakni ingin mencapai penyelesaian yang menguntungkan bagi memastikan akses pasaran yang penting terus terpelihara, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan para pekerja serta perniagaan di Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com