Tuesday, 8, April, 2025
Utama Nasional Tiba-tiba muncul ramai ‘pakar’ gas dan minyak – Saifuddin  

Tiba-tiba muncul ramai ‘pakar’ gas dan minyak – Saifuddin  

oleh Ammar Haziq

JITRA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru masyarakat agar memberikan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan siasatan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas yang menggemparkan negara di Putra Heights , Selasa lalu.  

Beliau menegaskan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan dengan disiplin tinggi oleh pasukan polis, dan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas di media sosial hanya akan menyukarkan proses siasatan yang sedang berjalan.  

“Kerana itu, saya ajak masyarakat berikan kepercayaan kepada pasukan polis untuk menyelesaikan tugas mereka.  

“Masyarakat boleh membantu dengan tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang hari ini ‘bersepah’ di media sosial. Tiba-tiba ramai yang menjadi ‘pakar’ gas dan minyak menganalisa sebab musabab insiden ini dari pelbagai sudut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Ahad.  

Saifuddin turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara harus digunakan dengan penuh tanggungjawab, terutama dalam situasi sensitif seperti insiden ini.  

“Meskipun masyarakat bebas bersuara, dalam kes siasatan polis seperti ini, berilah kepercayaan kepada pihak berkuasa tanpa kita terlibat dalam menimbulkan kekeliruan dan kacau ganggu,” ujarnya lagi.  

Dalam usaha membantu mangsa yang terjejas, Saifuddin berkata, dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarahkan mengambil tindakan segera.  

Arahan pertama diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyediakan dokumen gantian seperti sijil lahir, kad pengenalan, dan sijil perkahwinan tanpa sebarang bayaran.  

“Dokumen gantian ini penting kerana ia diperlukan untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi lain. JPN telah membuka kaunter di pusat penempatan sementara bagi memudahkan urusan mangsa,” katanya.  

Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut diarahkan membantu mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan pasport Malaysia antarabangsa akibat insiden tersebut.  

Saifuddin berharap agar masyarakat terus memberikan sokongan kepada PDRM serta tidak menimbulkan ketegangan melalui spekulasi yang tidak berasas.  

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com