BUTTERWORTH: Malaysia akan terus berusaha dan mengukuhkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), Eropah, China dan ASEAN dalam mencari jalan mengenai pelaksanaan tarif import timbal balas AS.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata malah semua negara anggota serantau turut bersetuju untuk menyelaraskan usaha secara bersama bagi mencari jalan mengatasi krisis tarif atas semangat ASEAN.
“Ini penting kerana kita bukan bergerak sebagai Malaysia tetapi sebagai satu kekuatan (ASEAN).
“Masalah tarif yang dikenakan itu, kita harap melalui jalan-jalan (termasuk) perbincangan dan rundingan atas nama Malaysia, atas nama ASEAN kita dapat leraikan dengan sebaiknya,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri.