Saturday, 19, April, 2025
Utama Nasional Agong berkenan berangkat sempena lawatan negara Presiden China

Agong berkenan berangkat sempena lawatan negara Presiden China

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Istiadat Sambutan Negara sempena Lawatan Negara Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping , di Istana Negara, hari ini.

Hadir sama pada istiadat bersejarah itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim , Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi , Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Sri Fadzilah Yusof, serta barisan Menteri Kabinet.

Lawatan ini merupakan kunjungan negara kedua Presiden Xi Jinping ke Malaysia selepas kali terakhir pada tahun 2013.

Kehadiran beliau bersama delegasi kanan kerajaan China adalah atas jemputan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Sambutan rasmi diadakan di Dataran Kawad Istana Negara, dengan beberapa acara penuh istiadat termasuk
persembahan lagu kebangsaan China dan Malaysia oleh *Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut diadakan tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja sebagai tanda penghormatan, pemeriksaan kawalan kehormatan utama, membabitkan empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping, yang turut disertai delegasi China di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara.

Pada majlis itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan persembahan cendera kenangan, simbol penghargaan terhadap hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala yang kukuh.

Sebagai tanda penghormatan kepada tetamu negara, Presiden Xi Jinping dan delegasi turut diraikan dalam Majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong turut berangkat ke majlis tersebut sebagai simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com